Bismillah...
assalamualaikum.. sudah beberapa hari tidak menulis di sini. Merindu untuk berkongsi. Bukankah tangan yang memberi lebih baik dari menerima ? ^^
Sekadar berkongsi, satu post di 
facebook
BAGAIMANA UNTUK KHUSYUK DALAM SOLAT?
 
 Khusyuk dalam Solat adalah sangat-sangat dituntut seperti Firman Allah 
s.w.t yang bermaksud “Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu 
orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” [Surah Al-Mukminun : ayat 
1-2].
 
 Firman Allah lagi yang bermaksud : “Maka kecelakaanlah 
bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” 
[Surah Al-Ma'un : ayat 4-5] 
 
 Rasulullah SAW bersabda yang 
bermaksud “Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di 
perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam 
sembahyangnya.”
 Hadis lain dari Rasulullah s.a.w. “Aku selalu 
mengingati mati dalam sembahyang“. serta “Apabila kamu sembahyang 
anggaplah sembahyang ini sembahyang perpisahan“. 
 
 Yang 
dikatakan khusyuk itu ialah hati sentiasa hidup, untuk mengekalkan 
sembahyang yang khusyuk, amalan berikut perlulah diamalkan dan 
diperhatikan oleh setiap orang yang mengerjakan sembahyang: 
 
 1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.
 
 2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian 
seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan 
sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.
 
 3. Mendirikan sembahyang di awal waktu.
 
 4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk memahami, 
mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu 
terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana 
bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut
 dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.
 
 5. Rukun-rukun 
solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), 
menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.
 
 6. Rasa Malu (Haya’) perasaan malu terhadap Allah s.w.t., rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.
 
 7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita
 
 8. Kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala 
urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
 
 9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.
 
 10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.
 
 11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.
 
 12. Mengambil wuduk dengan sempurna.
 
 13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan 
juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak
 jari.
 
 14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
 
 15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar, berwarna 
warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain
 hilang kekhusyukan ketika berjemaah.
 
 Walau apapun syarat 
khusyu’ yang paling utama ialah kemantapan iman dalam diri terhadap 
Allah SWT. Oleh sebab itu, berusahalah untuk mengenali Allah dan 
memperteguhkan keimanan kepadaNya. Sebenarnya, khusyuk di dalam 
sembahyang bermula dari khusyuk di luar sembahyang. Kalau di luar 
sembahyang hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk 
di dalam sembahyang. 
 Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang 
tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat
 itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat 
pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
 
 Kesimpulannya 
orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari ia hanyalah 
hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul 
serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah yang 
bermaksud:
 
 “Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan 
sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang 
yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan 
menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” [Surah 
Al-Baqarah : ayat 45-46].
 
1 comment:
soLat itu tiang agama...
jika runtuh salah satu tiang itu,, maka runtuhlah agamanya...
Post a Comment